ADUAN DAN CADANGAN BERKAITAN ISU SEKITAR JALAN 3/38 HINGGA JALAN 3/52, SEKSYEN 3, BANDAR BARU BANGI
Saya dengan hormatnya merujuk kepada perkara di atas.
2. Aduan dan cadangan adalah seperti berikut :
a. Taman Permainan/Rekreasi
i. Isu ini pernah dibangkitkan kerana kanak-kanak sekitar jalan 3/38 hingga 3/52 tidak mempunyai tempat permainan yang disediakan.
ii. Oleh itu mereka terpaksa bermain di atas jalan raya di depan rumah.
iii. Keadaan ini melibatkan implikasi keselamatan mereka dan pengguna jalan raya yang lain.
Cadangan
Majlis Perbandaran Kajang diharap dapat membersihkan dan menyediakan tempat permainan yang sesuai antara Jalan 3/38 dengan Rezab Sungai/TNB. Kawasan ini dilihat cukup luas dan terbiar. Kaedahnya adalah Mini Taman Tasik Cempaka.
b. Pembersihan longkang
i. Terdapat kerja membersih longkang yang belum sempurna berhadapan kawasan lapang berhampiran jalan 3/38 dan sub stesyen TNB.
ii. Tanah yang tidak dikorek dan menutupi longkang akan menyebabkan air longkang tidak dapat mengalir ke longkang besar.Cadangan Diharap MPKj memeriksa longgokan tanah yang menutupi longkang kawasan tersebut dan kontraktor berkaitan mengambil tindakan segera.
c. Gangguan Anjing Berkeliaran
i. Aduan sudah sering diajukan penduduk kepada MPKj berkenaan isu ini. Secara amnya, lebih 90% penduduk di sini adalah muslim dan tidak dilihat sesiapa pun memelihara anjing di antara jalan 3/38 ke 3/52.
ii. MPKj perlu pro-aktif kerana anjing ini tidak datang di waktu pejabat, tetapi membuat gangguan di kawasan perumahan pada malam hari.
iii. Tindakan tidak boleh hanya datang melihat sekitar waktu pejabat , tetapi dipantau pada waktu kebiasaan anjing berkeliaran. Sudah pasti pihak berkuasa yang sering mengendalikan isu ini lebih memahami tabiat dan perlakuan anjing liar.
Cadangan
Majlis Perbandaran Kajang diharap membuat tindakan menembak atau menangkap anjing liar ini secepat mungkin. Gangguan setiap malam amat membimbangkan, terutama apabila anjing-anjing ini bergaduh.
d. Kebersihan tasik di Jalan 3/48
i. Landskap tasik di Jalan 3/48 adalah tempat kecil untuk penduduk beriadah. Namun kejadian ikan mati dan membusuk sekitar tasik amat mengecewakan.
ii. Perkara ini bukan sahaja menjejaskan pemandangan, bahkan bau busuk menjejaskan keselesaan penduduk sekitar tasik ini.
Cadangan
Majlis Perbandaran Kajang diharap memantau aktiviti penyaluran sisa kumbahan/ toksin dari premis perniagaan atau sekitar. Perangkap sampah atau aliran berbeza perlu dibuat supaya tasik ini tidak dijadikan seperti tempat kumbahan.
e. Hentian Bas
i. Dilihat terdapat juga hentian bas di Jalan 3/67. Namun hentian tersebut terbiar dan tidak dimanfaatkan sebaiknya.
ii. Sehingga kini, dilihat ada pihak yang menjadikan ianya premis perniagaan.
Cadangan
Pihak MPKj diharap berhubung dengan syarikat pengangkutan bas awam untuk menjadikan seksyen 3 sebagai sebahagian laluan bas dan hentian tersebut dimanfaatkan untuk penduduk.
Lanjutan dari itu, perkhidmatan bas dari Bangi ke Kuala Lumpur perlu disediakan memandangkan laluan melalui Kajang tidak sesuai kerana melibatkan jarak yang jauh dan masa yang panjang.
Tambahan pula seksyen 3 berdekatan dengan UKM yang mempunyai penumpang di kalangan pelajar yang cukup ramai. Contoh paling hampir adalah seperti perkhidmatan Bas Metro 17 dan Bas Metro 18 yang beroperasi dari secara terus dari UPM ke Kotaraya.
f. Aduan Lain berkaitan landskap
i. Lampu jalan yang selalu tak nyala di bulatan UKM dan sepanjang jalan ke stesyen minyak Shell seksyen 16.
ii. Bahu jalan yang curam ( tidak rata ) akibat laluan air hujan disepanjang jalan dari bulatan selepas tol Bangi ke bulatan UKM.
iii. Ada pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sisa binaan berhampiran bulatan selepas tol Bangi.
iv. Tiang lampu yang hampir tumbang dan tidak ada pihak yang bertanggungjawab untuk membuat tindakan di bulatan selepas tol Bangi. Cadangan MPKj perlu mengambil inisiatif untuk kerja mengindahkan sepanjang jalan termasuk semua bulatan dengan landskap yang cantik dan segar. Sekarang ini penduduk melihat disepanjang jalan dan bulatan hanya ditanam dengan tumbuhan yang tidak dijaga supaya cantik dan hampir mati.
MPKj juga perlu menggantikan tiang-tiang lampu jalan yang lama dan rosak kepada yang lebih moden untuk semua jalan di Bandar Baru Bangi. MPKj juga perlu mengambil tindakan meratakan bahu-bahu jalan di semua jalan di Bandar Baru Bangi terutama di kawasan yang terlibat dengan penggantian paip air dan menanam semula rumput-rumput yang dah mati.
3. Bersama ini dilampirkan juga surat penduduk berkaitan aduan dan cadangan. Perhatian dan kerjasama pihak Majlis Perbandaran Kajang atas isu yang dibangkitkan amatlah dihargai. Semoga usaha bersama ini akan menjadikan kawasan di bawah Majlis Perbandaran Kajang lebih indah, harmoni dan sejahtera.
No comments:
Post a Comment