TMN TASIK BANGI 3

TMN TASIK BANGI 3

Saturday, August 27, 2011

Perutusan Aidil Fitri AJK Surau Ar-Raudhah

Assalamu’alaikum warahmatULLAHI wabarakatuh
Bismillahirahmanirahim..salawat dan salam ditujukan kepada Penghulu kita Nabi Muhammad s.a.w.
Alhamdulillah, syukur kita panjatkan ke hadhrat ILAHI kerana Ramadhan telah hampir sampai ke penghujungnya, seterusnya kita diambang hari untuk meraikan kejayaannya. Saya mewakili AJK Surau Ar-Raudah ingin mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidil Fitri” kepada semua ahli kariah TTB3. Semoga Ramadhan yang baru kita lalui ini lebih bermakna daripada sebelumnya dan kita dipertemukan lagi dengan Ramadhan akan datang. Kami memohon maaf jika terdapat kesilapan dan kekurangan.
Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada semua ahli kariah yang telah berjaya memakmurkan surau Ar-Raudah dengan penuh istiqomah di sepanjang bulan Ramadhan ini. Harapan kita agar ianya dapat diteruskan pada bulan Syawal, seterusnya hingga ke Ramadhan akan datang.
Sekalung penghargaan untuk semua AJK Surau, Persatuan Penduduk dan semua ahli kariah yang sama-sama terlibat dalam menjayakan semua aktiviti yang telah dirancang.Tanpa kerja berpasukan dan berkat bermesyuarah, tidak mungkin aktiviti-aktiviti yang telah dirancang berjaya dilaksanakan. Setinggi penghargaan kepada semua dermawan yang telah menyumbang ke Tabung Surau dan Ramadhan, semoga Allah memberikan ganjaran yang berlipat kali ganda.
Selamat pulang ke kampung halaman masing-masing, semoga perjalanan dipermudahkan dan dipelihara oleh Allah s.w.t. Sebagai seorang pengamal perubatan, saya ingin menasihatkan kita semua agar berhati-hati di jalanraya dan sentiasa menjaga kesihatan di sepanjang hari raya ini. Sebagai mana dosa-dosa kita yang disucikan sepanjang bulan Ramadhan, anggota tubuh kita juga telah menjalankan proses detoksifikasi iaitu dengan menyingkirkan begitu banyak toksin dari tubuh. Justeru, sewajarnya ia tidak dicemari semula melalui pemakanan yang tidak di kawal semasa lebaran.  Sebagaimana kita perlu mengekalkan kesucian jiwa kita daripada dosa, proses nyah toksin badan juga sewajarnya dikekalkan melalui pemakanan yang sihat, amalan yang sihat dan juga puasa-puasa sunat.
Akhir kata, saya bawakan satu hadith, dari Abu Ayub Radhiallahu ‘Anhu, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالَ فَكَأَنَّمَا صَامَ الدَّهْرَ
“Barang siapa puasa Ramadhan kemudian meneruskan dengan 6 hari dari Syawal maka seakan-akan ia telah puasa satu tahun. (Shahih. HR. Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Mukhtashar Irwa’ (950))
Kullu amin wa antum bikhoir…..WauAllahua'alam...
Dr Haji Mohd Hanif bin Haji Zailani
Pengerusi AJK Surau Ar-Raudhah
Taman Tasik Bangi 3

28 Ramadhan 1432

No comments:

Post a Comment